TAKEN FROM http://www.kosmo.com.my/
*klu rajen bacala sampai habes
MALANG GADIS QATIF
Susunan FATIMI NADIAH ZAINUDEEN
Ketujuh-tujuh perogolnya hanya didapati bersalah kerana menculik manakala dia pula dihukum 200 sebatan!
PENDEDAHAN Gadis Qatif mengenai nasib yang menimpa dirinya kepada media menyebabkan dia menerima hukuman berganda.
Menurut undang-undang Arab Saudi, seorang wanita tidak boleh memandu kereta atau bersendirian di dalam kereta yang sama dengan lelaki yang bukan muhrim.
Disebabkan itu, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang hanya dikenali sebagai Gadis Qatif (nama berdasarkan tempat kejadian) dijatuhi hukuman 90 sebatan, biarpun dia merupakan mangsa rogol bergilir-gilir tujuh lelaki.
Hukuman itu kemudiannya digandakan kepada 200 sebatan dengan enam bulan penjara atas dakwaan dia cuba mempengaruhi keputusan juri apabila tampil membuat pendedahan tentang pengalamannya kepada media.
Ketujuh-tujuh lelaki tersebut dijatuhkan hukuman penjara antara dua hingga sembilan tahun atas dakwaan menculik. Bagaimanapun pihak pendakwa gagal membuktikan Gadis Qatif dirogol setelah hakim mengabaikan bukti rakaman video dalam telefon bimbit penyerang.
Kisah hitam itu sebenarnya bermula apabila Gadis Qatif bertemu dengan bekas kekasihnya untuk meminta semula gambar yang pernah diberikan memandangkan dia sudah berkahwin dengan lelaki lain pada tahun 2006.
“Ketika kejadian saya berumur 18 tahun dan pernah mempunyai hubungan dengan seorang lelaki. Saya tidak pernah berjumpa dengannya sebelum ini.
“Saya hanya mengenalinya melalui suaranya. Dia meminta gambar saya tetapi saya menolak.
“Selepas itu dia mula mengugut untuk memberitahu keluarga saya tentang hubungan kami dan saya menjadi takut. Jadi saya bersetuju untuk memberinya gambar saya,” cerita Gadis Qatif.
Beberapa bulan kemudian, Gadis Qatif meminta gambar itu semula kerana dia sudah bernikah dengan lelaki lain tetapi lelaki berkenaan enggan memulangkannya.
“Kata lelaki itu, ‘Saya akan kembalikan gambar ini dengan syarat awak bertemu saya di dalam kereta saya’,” sambungnya.
Mereka bertemu di sebuah pasar berdekatan plaza di Qatif. Selepas itu, lelaki tersebut memandu untuk menghantarnya pulang. Rumah Gadis Qatif cuma 15 minit dari situ.
MUNGKINKAH para penculik melarikan Gadis Qatif ke ladang kurma seperti ini?
Diperkosa di ladang kurma
Namun ketika memasuki satu selekoh, sebuah kereta berhenti di depan kereta mereka. Dua lelaki keluar, salah seorang daripadanya memegang sebilah pisau. Lelaki itu cuba membuka pintu di tempat Gadis Qatif duduk.
Walaupun Gadis Qatif memberitahu bekas kekasihnya supaya tidak membuka pintu, dia tetap membukanya.
“Saya diacukan pisau ke leher dan diarahkan supaya tidak membuat bising. Mereka menolak kami ke tempat duduk belakang dan mula memandu.
“Mereka membawa kami ke sebuah kawasan yang dikelilingi pokok kurma. Tidak ada sesiapa pun di situ. Jika anda membunuh orang pun di situ tidak ada sesiapa yang akan tahu.
“Mereka membawa saya ke sebuah bilik yang gelap dan meyuruh saya membuka pakaian ‘abaya’ saya.
“Lelaki yang memegang pisau tadi memperkosa saya. Kehidupan saya hancur. Jika saya cuba melepaskan diri sekalipun, saya tidak tahu ke mana hendak dituju.
“Saya cuba sedaya upaya untuk melawan mereka tetapi tidak berdaya. Seorang lagi lelaki masuk dan melakukan perkara yang sama terhadap saya. Selepas itu saya sudah tidak berasa apa-apa.
“Dua jam saya merayu kepada mereka supaya menghantar saya pulang. Kemudian lelaki ketiga pula masuk. Saya diperlakukan dengan amat kasar. Lelaki keempat masuk selepas itu. Dia menampar dan mencekik saya.
“Lelaki kelima dan keenam paling kejam. Selepas lelaki ketujuh, seluruh tubuh saya terasa kebas. Seorang lelaki yang sangat gemuk menindih saya.
“Saya tidak dapat bernafas. Kemudian ketujuh-tujuh lelaki tadi datang semula dan memperkosa saya sekali lagi sebelum mereka menghantar saya balik ke rumah.
“Saya tidak dapat berjalan langsung selepas keluar dari kereta mereka.
“Saya tidak makan selama seminggu selepas itu, hanya minum air. Saya juga tidak memberitahu sesiapa.
“Tetapi ketujuh-tujuh perogol itu mula bercerita dengan orang kampung. Mereka menyangka suami saya akan menceraikan saya dengan cerita itu.
“Mereka mahu merosakkan nama baik saya. Akhirnya suami saya mengetahui kejadian itu. Abang saya memukul dan cuba membunuh saya,” akui Gadis Qatif dalam satu kenyataan terbuka.
Pengampunan Raja Abdullah
Kenyataan secara terbuka itulah yang dikatakan telah mempengaruhi mahkamah Arab Saudi untuk menggandakan hukuman ke atas wanita malang itu.
RAJA ABDULLAH
Bekas teman lelakinya juga dijatuhkan hukuman 90 sebatan kerana berdua-duaan dengan Gadis Qatif di tempat terlindung.
Kes kontroversi ini telah ditenangkan pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah yang mengampunkan Gadis Qatif.
Suami mangsa menerima berita itu dengan baik. “Saya gembira, begitu juga isteri saya dan ia pastinya dapat membantu mengurangkan penderitaan psikologi dan sosial yang dialami.
“Kami berterima kasih kepada Raja Abdullah kerana perhatian dan kasihnya.”
Tuesday, April 14, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment